Friday, January 7, 2011

Siapa Aku Dalam Mengenal Diri Insan?....





Aku datang dari Allah Taala. AKU adalah ma'lum (yang diketahui) dalam ilmu (pengetahuan) Allah Taala. Kemudian AKU berada di alam ruh. Bila sampai masanya hendak lahir ke dunia ia dihembuskan ke bakal bayi dalam rahim ibu. Cukup masanya dalam rahim ibu itu, ia pun lahir ke dunia bersama badan fizikal yang berbentuk bayi.

AKU akan berada di alam dunia sampai ajalnya tiba. Kemudian ia masuk pula ke alam barzakh. Setelah berada sekian lama, maka ia akan dipertimbangkan di Hari Pengadilan. AKU akan masuk ke Syurga atau Neraka. Mudah-mudahan janganlah masuk ke Neraka hendaknya. 


Maka AKU pun kembali ke hadrat Allah Taala. Dari Allah Taala AKU datang, kepada Allah Taala AKU kembali. Disana kekallah hidup bersama dengan Yang Maha Hidup (Allah Taala) selama-lamanya. Itulah perjalanan AKU. Mengembara dari satu alam ke satu alam.

AKU tidak patut dipuji kerana ia ''kosong''. Yang Wujud Hakiki hanya Allah Taala. AKU tidak memuji ''ghairullah'' (selain Allah Taala) kerana ghairullah itupun kosong jua. Yang patut dipuja dan dipuji hanya Yang Wujud Hakiki itu sahaja.

AKU hanya satu ombak dari lautan Ar-Rahman. AKU hanya satu ayat dalam karangan Pengarang Kitab Yang Maha Besar (Allah Taala). AKU hanya satu bayangan dari bayangan Dia Yang Maha Ada. Itulah AKU yang tidak berpisah dengan Tuhanku.

Hidup AKU kembali ke hidupNYA. Gerak AKU kembali ke gerakNYA. Diam AKU kembali ke diamNYA. Sifat AKU kembali ke sifatNYA. Nama AKU kembali ke namaNYA. Amalan AKU kembali ke amalanNYA. Wujud AKU kembali ke wujudNYA.


Sesungguhnya, AKU itu akan kembali kepadaNYA, laksana cahaya kembali ke Matahari, seperti ombak kembali ke laut. Tempat kembali itulah tempat AKU yang sebenarnya.



No comments:

Post a Comment