Tuesday, April 30, 2013

Mangkuk, Madu dan Rambut


Mangkuk, Madu dan Rambut



Pada suatu hari, Rasulullah SAW dengan Sahabat-sahabatnya iaitu Abu Bakar r.a., Umar r.a., Utsman r.a., dan 'Ali r.a., bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. isterinya Sayyidatina Fathimah r.ha. putri Rasulullah SAW menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. 

Baginda Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua Sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).

Abu Bakar r.a. berpendapat, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, iman itu lebih manis daripada madu tetapi mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut".

Umar r.a. berpendapat, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Utsman r.a. berkata, "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan ber'amal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

'Ali r.a. berkata, "Tetamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Fatimah r.ha.berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali mahramnya lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Rasulullah SAW berkata, "Seorang yang mendapat taufiq untuk ber'amal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, ber'amal dengan 'amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat 'amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Ketika mereka sedang memberikan pendapat, Jibril a.s pun turun dan memberitahu bahawa Allah swt sangat menyukai perbincangan tersebut. Lalu, Jibril a.s turut memberikan tafsirannya.

Malaikat Jibril a.s. berkata, "Menegakkan tiang-tiang agama itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Selepas itu, Jibril a.s. memberitahu bahawa Allah SWT berfirman, "Syurga-Ku itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Daripada kisah di atas dapatlah kita ketahui bahawa Nabi dan Para Sahabat berbeza-beza pendapat dalam mentafsirkan sesuatu tetapi tidak pula Mereka membangkang pendapat orang lain. Jadi, kita juga perlu berlapang dada dengan khilaf dan perbezaan pendapat. Hati harus seluas lautan, jangan kecil seperti kuman.

Selain itu, kita dapat mengenali perkara-perkara yang paling dekat di hati Nabi dan Sahabat. Nabi SAW sangat menyukai amalan yang ikhlas, Abu Bakar r.a. menyukai usaha atas iman, Umar r.a. menyukai sebuah pemerintahan yang adil mengikut Islam, Utsman r.a. menyukai ilmu manakala Ali r.a. sangat menyukai tetamu.

Di samping itu, Jibril a.s. pula sangat menyukai orang yang berjuang dengan istiqamah dalam agama sehingga ke akhir hayat manakala Allah swt sangat suka hamba-hambanya dimasukkan ke dalam Syurga. 

Untuk meniti titian sirat yang lebih halus daripada sehelai rambut itu adalah dengan iman, amal dan taqwa dan bukannya dengan jet pejuang atau peralatan moden!